arena

Lima pemain rebut nombor satu

Oleh AFP

KETIKA Serena Williams berehat kerana dijangka melahirkan bayi, lima pemain berpeluang untuk merampas kedudukan nombor satu dunia minggu ini pada kejohanan pemanas badan menjelang Terbuka AS di Cincinnati.

Serena, pemenang 23 gelaran Grand Slam yang mengumumkan dia mengandung dan menamatkan musimnya lebih awal April lalu, menduduki tangga nombor satu dunia 186 minggu berturut-turut sejak September lalu, menyamai rekod Steffi Graf bagi rekod era Terbuka sebelum diambil alih oleh pemain Jerman, Angelique Kerber awal tahun ini.

Juara bertahan di Cincinnati, Karolina Pliskova mengambil alih kedudukan di puncak lima minggu lalu namun akan kehilangan mata sekali gus membuka peluang kepada pencabar mengatasinya.

Pemain ranking kedua dari Romania, Simona Halep, pemain nombor tiga Angelique, pemain ranking keempat dari Ukraine, Elina Svitolina dan pemain kelima dunia dari Denmark, Caroline Wozniacki boleh merampas tangga nombor satu.

“Tiada apa yang berubah. Saya mempunyai tanggungjawab besar. Saya akan melakukan segala-galanya seperti sebelum ini,” kata Karolina. “Saya tidak fikir ia perkara yang amat besar tapi saya tidak mahu melakukan apa-apa hanya kerana ranking.

“Saya tidak mahu bertindak secara berbeza. Saya cuba untuk tidak tertekan.”

Karolina menang kejuaraan di Brisbane, Doha dan Eastbourne tahun ini namun sekiranya dia gagal mempertahankan kejuaraan itu, membuka peluang buat Simona untuk merampas tangga teratas jika memenangi kejuaraan di Cincinnati.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 9:52am
d