arena

Bukan mustahil

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Mampukah pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan menamatkan penantian 14 tahun untuk memiliki emas dalam acara pecut 100 meter?

Semuanya bukan sesuatu yang mustahil terutama ketika di atas kertas catatan 10.18 saat yang dilakukan Khairul di Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu masih belum dipintas mana-mana atlet.

Namun itu hanya satu statistik yang bakal terjawab apabila atlet berusia 19 tahun dari Melaka itu turun beraksi membakar trek di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Ogos ini.

Bagaimanapun bekas raja pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhamad cukup yakin Khairul mampu menamatkan penantian itu dan diiringi dengan doa rakyat Malaysia, emas mampu digapai.

Bercakap berdasarkan pengalaman, Nazmizan berjaya menukar mimpi menjadi realiti apabila menamatkan penantian 36 tahun emas negara dalam acara riben biru itu di Sukan SEA 2003 Vietnam.

“Setiap temasya saya menanti dan berharap Sukan SEA berikutnya akan ada pelari negara yang menang emas.

“Saya sudah berjaya memecahkan tembok besar Thailand dan membuktikan kita mampu melakukannya,” katanya.

Beliau mengharapkan kebangkitan menakjubkan daripada Khairul untuk bergelar raja pecut Asia Tenggara yang baru.

“Jangan rasa kita ini kerdil sehingga tidak mampu untuk menjadi pelari terpantas Asia Tenggara. Saya mohon anda (Khairul) melakukan yang terbaik untuk negara.

“Saya sentiasa mendoakan kejayaan Khairul kerana anda mampu untuk mengubah arena olahraga Malaysia.

“Lakukan yang terbaik untuk negara dan jangan rasa kita tidak boleh bergelar juara,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 10:46am
d