arena

Tak boleh bolos 300 minit

Oleh Naqib Nor Said

MESKIPUN dilihat tidak berdepan masalah untuk meraih pingat emas, namun tugas berat menanti penjaga gol hoki negara S Kumar dan Hafizuddin Othman sepanjang enam aksi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ia selepas jurulatih penjaga gol skuad Malaysian Tigers, Nasihin Nubli Ibrahim meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) buat mereka untuk tidak melepaskan sebarang gol sepanjang 300 minit aksi di temasya dwitahunan itu.

Jelas Nasihin, tindakan itu bagi memastikan barisan penjaga golnya ke Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober ini dalam keyakinan yang tinggi terutama buat penjaga gol nombor dua Hafizuddin, 25, yang akan diturunkan lebih kerap pada temasya kali ini.

“Kalau boleh saya mahu mereka jangan bolos pada Sukan SEA ini. Di zaman saya dulu kalau beraksi pada saingan seperti ini kita letakkan KPI siapa yang diturunkan tidak boleh melepaskan gol.

“Jadi perkara yang sama akan saya praktikkan kali ini kepada mereka. Setakat ini Kumar dan Hafizuddin tampak fokus sepanjang latihan.

“Ia tidak bagus untuk mereka melepaskan gol di Sukan SEA kerana kita pasukan yang lebih bagus, malah ia juga tidak bagus untuk persiapan kami ke Piala Asia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Skuad negara akan membuka kempen liga sepusingan Sukan SEA pada Isnin ini berdepan Filipina (10.30 pagi) dan Vietnam (7.30 petang) diikuti Thailand (22 Ogos), Indonesia (23 Ogos) dan Singapura (24 Ogos) dengan juara dan naib juara akan mara ke perlawanan akhir.

Turun sebagai pasukan pilihan, Sukan SEA ternyata bukan ujian sebenar buat skuad negara yang memburu pingat emas ke-15 acara hoki lelaki sejak ia mula dipertandingkan pada edisi 1971 di sini.

Kedudukan ranking dunia Malaysian Tigers iaitu nombor 12 dunia juga jauh meninggalkan lima pencabar pada KL2017 seperti Singapura (39), Thailand (59) dan Vietnam (85) manakala Indonesia dan Filipina (tiada ranking).

Penonton boleh menyaksikan acara hoki KL2017 secara percuma di Stadium Hoki Nasional dari 21 hingga 29 Ogos ini.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 2:26pm
d