arena

Modul persiap sukarelawan

Oleh BERNAMA

BERDEPAN serta menghadapi penonton dan atlet yang mempunyai pelbagai ragam dan kerenah adalah antara modul bagi melatih 14,000 sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pelatih Sukarelawan KL2017, Profesor Madya Dr Jamaluddin Aziz berkata, ia adalah modul penting untuk menjadikan mereka lebih profesional sekali gus menyediakan sukarelawan dengan pelbagai aspek termasuk fizikal, mental dan emosi.

“Selain itu, modul yang disediakan dalam melatih sukarelawan termasuk mengenai sejarah negara Asia Tenggara dan ASEAN, keselamatan dan berkaitan dengan krisis komunikasi serta memastikan latihan yang diberikan menaikkan semangat mereka.

“Saya turut menyediakan modul, membuat video latihan, memantau laman Facebook bagi modul yang dinamakan ‘Seamyimage’. Kami pastikan latihan yang diberikan juga relevan, bermatlamat dan semestinya menarik minat mereka,” katanya hari ini.

Jamaluddin yang juga pensyarah Penyelidikan Impak Media dan Industri Kreatif, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah antara pensyarah yang terbabit sejak awal dalam menyediakan modul serta melatih sukarelawan KL2017.

UKM menyediakan tempat tinggal, makan minum, kursus dan latihan persediaan dalam bidang tertentu kepada sukarelawan yang memohon sendiri kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menghadapi temasya dwitahunan itu yang akan membuka tirai secara rasminya pada Sabtu ini.

Sukarelawan terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, profesional dan juga pesara yang berumur antara 16 hingga 82 tahun.

Jamaluddin menjelaskan sukarelawan diagihkan kerja mengikut pelbagai tugasan sebelum temasya Sukan SEA bermula dan tugas mereka yang akan menjadi duta kecil Malaysia kepada penyokong sukan dari dalam dan luar negara amat penting kerana imej negara terletak di bahu mereka.

Antara tanggungjawab sukarelawan termasuk memastikan setiap acara Sukan SEA, majlis perasmian, majlis penutup dan majlis penyampaian hadiah berjalan dengan lancar, katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 2:37pm
d