arena

Joshua mahu 'tikam' emas

Oleh Saiful Affendy Sapran

ATLET lawan pedang negara Joshua Koh I Jie mempunyai sasaran cukup jelas untuk kembali memburu pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur selepas berdepan kekecewaan tersingkir awal dua tahun lalu di Singapura.

Joshua yang bakal membuat penampilan kali ketiga di Sukan SEA berkata, dia sememangnya tidak mempunyai sasaran lain kecuali kilauan emas menerusi acara epee.

Enam tahun lalu di Palembang, atlet berusia 27 tahun itu menceriakan kontinjen negara apabila berjaya meraih emas menerusi acara sama tetapi dia tidak dapat mempertahankan kemenangan itu selepas lawan pedang tidak dipertandingkan di Sukan SEA Myanmar 2013.

“Sudah tentu pada edisi kali ini saya mahu kembali memburu emas. Sebenarnya di mana-mana pertandingan pun sasaran saya memang mahukan emas.

“Saya bekerja keras melakukan persiapan rapi bagi memastikan impian ini menjadi kenyataan.

“Kami sudah menjalani latihan di Korea Selatan selama kira-kira tiga bulan dan harap ia membantu saya,” katanya.

Menurutnya, ini kali pertama dia bakal beraksi pada kejohanan besar di halaman sendiri.

“Saya tidak tahu sama ada ia akan memberi kelebihan atau tidak kerana ini kali pertama saya beraksi di halaman sendiri.

“Apapun seperti atlet lain, saya berharap ia akan membantu memberi motivasi tambahan kepada saya.

“Yang penting adalah bagaimana saya mengawal situasi pada saingan sebenar,” katanya.

Atlet kelahiran Selangor itu akan turun beraksi pada 23 Ogos ini.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 5:26pm
d