arena

'Dua-dua makin bagus

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih perseorangan wanita negara Tey Seu Bock mengaku sedang sibuk mempersiapkan dua tonggaknya dalam acara individu, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei walaupun sedar bakal berdepan laluan sukar menentang pemain Indonesia serta Thailand.

Menurutnya, buat masa ini, persiapan semua pemain termasuk dua dalam acara berpasukan, Ho Yen Mei dan Lee Ying Ying berjalan lancar terutama selepas melalui Kem Bina Semangat di Bukit Fraser hujung minggu lalu.

“Tahap pemulihan kecederaan Jin Wei juga semakin bagus dan dia melalui latihan dengan baik sekali. Begitu juga Soniia, dengan sekarang ini saya hanya perlu untuk memperkuatkan mentalnya kerana dia mudah berasa tertekan,” katanya.

Menurut Seu Bock, beliau menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan pemain termasuk mengetahui apa masalah dihadapi supaya tidak terbawa-bawa ke dalam gelanggang.

“Saya perlu berbincang dengan Soniia kerana dia dilihat agak tertekan jika bermain di kejohanan besar. Jadi saya perlu tahu sebabnya.

“Kita bukannya berbincang mengenai sasaran pingat kerana tidak mahu memberi tekanan kepada mereka. Kita sedar peluang mereka kali ini bukan mudah dan paling penting keadaan sebenar ketika pertandingan,” katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara perseorangan wanita melalui Datin Wong Mew Choo di Vietnam pada 2003.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 4:04am
d