arena

Bayern dominasi liga

Oleh AFP

BAYERN Munich memulakan musim baru Bundesliga awal pagi Sabtu ini ketika 13 daripada 17 jurulatih kelab pencabar mereka menjangkakan mereka akan mendominasi sekali lagi walaupun kekalahan Usain Bolt baru-baru ini digunakan sebagai pencetus inspirasi.

Bayern menerima kunjungan Bayer Leverkusen di Arena Allianz bagi aksi pembukaan musim dengan kelab Bavaria itu muncul pilihan utama memenangi kejuaraan.

Menurut satu tinjauan dalam kalangan 18 jurulatih liga utama Jerman itu, ramai bersetuju Bayern kendalian Carlo Ancelotti akan merangkul kejuaraan liga kali keenam berturut-turut.

“Saya meramalkan Bayern tapi tiada apa yang mustahil,” kata jurulatih Cologne, Peter Stoeger.

“Jika Usain Bolt boleh kalah perlumbaan 100 meter, mungkin seseorang boleh menjadi juara di Jerman.”

Bolt dari Jamaica hanya mampu meraih pingat gangsa dalam acara 100m di belakang Justin Gatlin pada Kejohanan Olahraga Dunia IAAF dalam perlumbaan individu terakhirnya sebelum bersara di London baru-baru ini.

Sejak sedekad lalu, Bayern sudah menang kejuaraan Bundesliga tujuh kali, lima daripadanya secara berturut-turut sejak 2012. Mereka berakhir 15 mata di depan pasukan tangga kedua RB Leipzig musim lalu.

“Standard kami adalah memenangi kejuaraan Bundesliga,” kata presiden Bayern, Uli Hoeness.

Bayern memperkukuhkan skuad mereka dengan mendapatkan khidmat pemain tengah Corentin Tolisso dari Lyon dan James Rodriguez dari Real Madrid.

Namun mereka tampil tanpa pengaruh bekas kapten Philipp Lahm dan pemain tengah Sepanyol, Xabi Alonso, kedua-duanya bersara Mei lalu.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 10:11am
d