arena

11 bendera berkibar tanda temasya bermula

Oleh BERNAMA

BENDERA 11 negara yang mengambil bahagian pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mula berkibar di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini menandakan temasya dwitahunan itu akan bermula secara rasminya tiga hari lagi.

Seramai 350 wakil terdiri daripada atlet dan pegawai setiap negara yang bertanding dalam KL2017 iaitu Thailand, Singapura, Myanmar, Vietnam, Timor Leste, Indonesia, Brunei, Kemboja, Laos, Filipina dan tuan rumah Malaysia hadir pada upacara menaikkan bendera yang berlangsung di Dataran Keris, perkarangan Stadium Nasional hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkples Embong, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Setiausaha Kehormat MOM Datuk Low Beng Choo.

Dalam ucapannya pada upacara itu, Saravanan berkata, Malaysia berusaha sebaik mungkin untuk memastikan setiap aspek temasya itu diberi perhatian termasuk pengangkutan, penginapan dan makanan.

“Beberapa acara sukan sudah bermula dan suasana semakin hari semakin mengujakan. Kami tidak sabar untuk menyaksikan anda semua beraksi cemerlang,” katanya.

Saravanan berkata, walaupun menang amat penting dalam acara sukan, beliau berharap atlet turut berasa seronok dan menimba pelbagai pengalaman sepanjang temasya ini.

“Tatkala anda semua mempamerkan semangat perpaduan menerusi sukan, kami juga berharap anda turut mengambil peluang ini untuk menikmati hospitaliti mesra Malaysia,” katanya.

Stadium Nasional yang menjadi venue utama edisi ke-29 Sukan SEA adalah sebahagian daripada Bandar Sukan Kuala Lumpur, yang turut merangkumi Pusat Akuatik Nasional, Stadium Hoki Nasional, Pusat Skuasy Nasional dan Arena Axiata.

KL2017 yang mempertandingkan 404 acara dalam 38 sukan akan berlangsung secara rasmi dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 1:42pm
d