arena

Duduki tangga teratas kelayakan

Oleh Devinder Singh

PASUKAN pemanah compound negara dalam laluan terbaik untuk mempertahankan gelaran juara berpasukan Sukan SEA apabila menduduki tangga teratas pusingan kelayakan, hari ini.

Trio lelaki yang dibarisi Lee Kin Lip, Juwaidi Mazuki dan Zulfadhli Ruslan melakukan catatan keseluruhan 2,095 mata di padang sintetik Bukit Jalil untuk bertemu Laos pada suku akhir, esok.

Filipina di tangga kedua dengan 10 mata di belakang akan bertemu Myanmar di suku akhir manakala perlawanan lain membabitkan Thailand menentang Vietnam dan Indonesia bertemu Singapura.

Pasukan wanita negara yang dibarisi Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Nor Rizah Ishak mendapat ‘bye’ ke separuh akhir selepas muncul pasukan terbaik dalam kelayakan dengan catatan 2,053 mata.

Malaysia akan bertemu sama ada Thailand atau Filipina pada separuh akhir, esok manakala pilihan kedua, Vietnam yang ketinggalan dua mata di belakang Malaysia akan berdepan Singapura dalam satu lagi perlawanan suku akhir untuk bertemu Indonesia atau Myanmar pada perlawanan seterusnya.

Dalam acara compound campuran, Jumaat ini, Juwaidi dan Fatin akan memulakan misi mempertahankan pingat emas dengan menentang atlit Singapura, Teng Ang Han dan Madeleine Ong di suku akhir.

Fatin turut memecahkan rekod kebangsaannya dalam acara compound individu apabila mencatatkan 696 mata pada pusingan kelayakan.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 1:50pm
d