arena

Thailand sasar 14 emas olahraga

Oleh BERNAMA

THAILAND menyasarkan 14 pingat emas olahraga pada Sukan SEA Kuala Lumpur, yang menurut negara itu sebagai ‘memadai’ untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam sukan itu pada temasya dwitahunan kali ini.

Di sebalik keyakinan mengekalkan gelaran juara keseluruhan dalam olahraga, pasukan itu menjangkakan saingan sengit terutama dari negara tuan rumah Malaysia dan Indonesia bagi gelaran berprestij itu.

“Kami menetapkan sasaran sebanyak 14 pingat emas bagi pasukan olahraga di Sukan SEA Kuala Lumpur. Saya fikir 14 pingat emas sudah memadai buat kami mempertahankan juara keseluruhan dalam sukan itu,” kata Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Thailand (AAT) Mej Jen Supawanat Ariyamongkol.

Bekas raja pecut Thailand pada era 60-an dan 70-an itu berkata, pingat emas dijangka diraih daripada beberapa acara trek dan balapan dengan pasukannya diwakili atlet peringkat Asia.

Satu daripada pingat emas yang diyakini pasti berada dalam genggaman pasukan olahraga Thailand pada Sukan SEA Kuala Lumpur, menurut Supawanat adalah dalam acara 4x100 meter kuartet lelaki yang tradisinya dimenangi negara itu.

“Pasukan 4x100 meter Thailand memenangi pingat perak pada Kejohanan Asia di India beberapa bulan lalu dan jelas menjadi pilihan pada Sukan SEA kali ini,” katanya dan menurutnya kuartet Thailand hanya dipintas di garisan penamat oleh Jepun.

Di sebalik prestasi baik dicatat pasukan 4x100m lelaki Malaysia diketuai Khairul Hafiz Jantan, beliau memberikan rating lebih tinggi kepada pasukan lari berganti-ganti Indonesia berbanding Malaysia dalam memberikan cabaran kepada Thailand untuk pingat emas pada temasya itu.

Selain 4x100m lelaki, Supawant berkata, pingat emas lain yang disasarkan Thailand dalam olahraga adalah menerusi acara merejam lembing (lelaki dan wanita), lompat bergalah (lelaki), lempar cakera (wanita), lompat tinggi (lelaki), heptatlon, dekatlon dan 110m lari berpagar lelaki.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 2:30pm
d