arena

Qabil optimis tambah koleksi emas

Oleh BERNAMA

PEMENANG sembilan pingat emas acara ekuestrian Sukan SEA, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil optimis dua kudanya, Qalisya dan Walkeaure akan membantunya menambah koleksi pingat pada kemunculan semula dalam temasya Sukan SEA 2017.

Mohd Qabil yang kali terakhir beraksi dalam Sukan SEA ketika di Korat, Thailand pada 2007 dengan membawa pulang empat pingat emas yakin dua kuda berlainan yang akan digunakan pada empat acara iaitu individu serta berpasukan kategori dressage dan show jumping itu mampu beraksi dengan baik.

“Setakat ini persefahaman saya bersama Qalisya, kuda baka Jerman yang dibeli dan Walkeaure, baka Denmark yang disewa untuk kegunaan pertandingan sangat memuaskan biarpun baru kira-kira setahun menunggangnya.

“Walkeaure akan saya tunggang dalam kategori dressage dan yakin kuda ini mampu menunjukkan prestasi cemerlang berdasarkan prestasinya sebagai kuda yang mencatat rekod markah tertinggi pada pertandingan Kejohanan Penunggang Muda Dunia 2015 bersama penunggang dari Belanda,” katanya kepada Bernama.

Selain persembahan cemerlang di Sukan SEA Korat, Qabil turut meraih empat pingat emas ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2001 selain membawa satu emas pada acara tunggal ekuestrian yang dipertandingkan di Manila pada 2005.

Tambah Qabil, Qalisya yang berusia lapan tahun akan ditunggangnya bagi acara show jumping.

Atlet berusia 37 tahun yang keluar dari persaraan selepas kali terakhir mewakili negara pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China itu berharap kehadiran semula beliau dan adik perempuannya, Quzandria Nur, 35, mampu menyuntik semangat penunggang muda negara untuk mempamerkan aksi terbaik di laman sendiri.

Katanya, penunggang dari Thailand dan Filipina dilihat sebagai pencabar utama dalam acara show jumping manakala bagi dressage, beliau menjangkakan saingan atlet Indonesia serta Thailand.

“Situasi sekarang jauh berbeza ketika kali terakhir saya beraksi di Sukan SEA, dahulu hanya kita (Malaysia) yang berlatih di luar negara, kini atlet negara Asia Tenggara lain juga dilihat menggunakan pendekatan berlatih di Eropah,” katanya.

Acara ekuestrian yang diadakan di 3Q Equestrian Centre, Rawang akan bermula dengan acara dressage pada 22 hingga 24 Ogos sebelum acara show jumping mengambil tempat pada 26 hingga 28 Ogos.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 6:36pm
d