arena

BNM keluarkan syiling KL2017

Oleh BERNAMA

BANK Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para ASEAN ke-9.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan berkata, duit syiling peringatan itu dikeluarkan dalam dua spesifikasi iaitu syiling perak berwarna (pruf) dan syiling emas Nordic.

Katanya, duit syiling pruf diperbuat daripada perak dengan ketulenan 99.9 seberat 31.10 gram setiap keping, bernilai muka RM10 dan dijual pada harga RM230 sekeping manakala nilai muka duit syiling emas Nordic ialah RM1 dengan harga jualan RM10 sekeping.

“Hanya 700 keping duit syiling peringatan perak berwarna dan 13,000 keping duit syiling peringatan emas Nordic ditempa,” katanya pada majlis pelancaran duit syiling tersebut di Wisma Radio RTM hari ini, .

Turut hadir Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abu Bakar Ab Rahim.

Saravanan berkata, duit syiling itu boleh didapati dalam set dua dalam satu pada harga RM280 setiap set dan hanya 1,300 set disediakan.

Sementara itu, Adnan Zaylani berkata contoh syiling itu akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Isnin di pejabat BNM Kuaala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, dan Kuala Terengganu.

“Jualan duit syiling itu bermula pada 29 Ogos,” katanya.

Duit syiling rekaan staf BNM, Nurul Iman Azwan, itu mempamerkan maskot rasmi Sukan SEA iaitu Rimau pada bahagian hadapan dengan perkataan ‘Sukan SEA ke-29’ dan ‘Sukan Para ASEAN ke-9’ di keliling bahagian atas serta bawah.

Tema temasya iaitu ‘Bangkit Bersama’ turut diletakkan pada bahagian depan.

Bahagian belakang memaparkan perkataan ‘Bank Negara Malaysia’ dan nilai muka tertera di bawah, manakala bahagian tengah menunjukkan logo rasmi temasya sukan itu iaitu Wau Bulan.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 7:27pm
d