arena

Sigurdsson pemain termahal Everton

Oleh AFP

EVERTON mengikat pemain tengah Iceland, Gylfi Sigurdsson dari kelab pencabar Liga Perdana Inggeris, Swansea City dengan rekod kelab £45 juta (RM249 juta) semalam.

Pemain berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun dengan gaji dilaporkan £100,000 (RM554,000) seminggu untuk muncul pemain paling mahal dibeli Everton, mengatasi catatan £31.8 juta (RM176 juta) dibayar mereka kepada Chelsea ketika membeli Romelu Lukaku pada 2014.

“Harapnya saya akan terus membantu mencipta gol dan menjaringkan gol buat pasukan serta menyumbang kepada kejayaan yang dicari-cari kelab ini,” kata Sigurdsson.

“Kelab ini bercita-cita besar dan jelas kami menuju landasan yang amat baik. Perkara paling penting pasukan ini terus memenangi perlawanan dan melonjak dalam carta serta melakukannya sepanjang musim.”

Sigurdsson, yang memainkan peranan penting buat Swansea mengekalkan status mereka dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu selepas menjaringkan sembilan gol serta membantu mencipta 13 gol, menarik diri daripada jelajah pramusim ke Amerika Syarikat dan tidak dinamakan dalam skuad ketika seri 0-0 dengan Southampton hujung minggu lalu.

Swansea sudah menolak dua bidaan Everton selain menolak tawaran yang dilaporkan £40 juta (RM222 juta) dari juara 2016 Leicester City pada awal musim panas ini.

Sigurdsson menyertai Swansea secara pinjaman pada Januari 2012 dari kelab Jerman, Hoffenheim sebelum perpindahan kekal ke kelab selatan Wales itu tidak menjadi kenyataan dan Tottenham mengikatnya selama dua tahun.

Selepas melakukan 58 penampilan liga utama buat Spurs, dia kembali menyertai Swansea buat kali kedua dan menghabiskan tiga musim di Stadium Liberty.

Dia turut beraksi 50 kali buat Iceland, membantu negaranya layak ke suku akhir Euro 2016.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 7:37am
d