arena

Matuidi hampir sertai Juventus

Oleh AFP

PEMAIN tengah Perancis, Blaise Matuidi semakin hampir menyertai Juventus, yang bersetuju membayar Paris Saint-Germain 20 juta euro (RM101 juta) termasuk bonus, apabila menjalani pemeriksaan perubatan semalam.

Matuidi, yang menang empat kejuaraan liga berturut-turut bersama PSG, disambut beribu-ribu peminat tegar ketika tiba di lapangan terbang Caselle, Torino semalam sebelum menjalani ujian perubatan.

Dia dijangka menandatangai kontrak yang akan menyaksikan pemain berusia 30 tahun itu menerima 3.5 juta euro (RM17.7 juta) semusim, menurut laman web Gazzetta dello Sport.

Pemain tengah bertahan itu, dikenali kerana kehebatannya memegang bola serta keupayaannya merampas semula pegangan bola, sudah lama menjadi sasaran Juventus.

Juventus mengesahkan perpindahan itu apabila mengepos satu gambar dalam laman web mereka Matuidi yang tersenyum ketika tiba untuk menjalani ujian.

Dijangka menjadi pembelian kesembilan Juve musim ini berikutan kehadiran antaranya Douglas Costa (Bayern Munich), Mattia Di Sciglio (AC Milan), Federico Bernardeschi (Fiorentina) dan penjaga gol Wojciech Szczesny (AS Roma), kehadiran Matuidi disambut baik bakal rakan sepasukannya Paulo Dybala.

Pemain kebangsaan Argentina itu, yang menjaringkan gol pertama musim ini ketika kalah 2-3 kepada Lazio pada aksi Piala Super baru-baru ini, menulis dalam akaun Twitternya: “Selamat datang @MATUIDIBlaise.”

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 8:00am
d