arena

Peluang Napoli cerah

Oleh AFP

NAPOLI mencerahkan peluang melangkah ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas menang selesa 2-0 ke atas Nice yang beraksi dengan sembilan pemain pada aksi pertama play-off di Naples, awal pagi tadi.

Kelab dari Riviera itu beraksi dengan sembilan pemain pada minit ke-79 apabila Alassane Plea dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua selepas Vincent Koziello dilayangkan kad merah.

Pemain tengah Belgium, Dries Mertens membuka tirai jaringan pada minit ke-13 manakala Jorginho menambah kelebihan tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-70.

Ia kekalahan ketiga berturut-turut buat pasukan kendalian Lucien Favre yang sebelum ini kecundang dalam dua perlawanan awal Ligue 1 dan mereka berkunjung ke laman lawan tanpa Mario Balotelli dan pemain yang baru diikat, Wesley Sneijder.

Napoli yang menghuni tangga ketiga Serie A dan melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara tahun lalu, jelas berada dalam kelas tersendiri berbanding kelab Perancis itu yang bergelut di benteng pertahanan.

“Pada peringkat ini musim ini, boleh dikatakan kami bermain dengan hebat,” ujar jurulatih Napoli, Maurizio Sarri.

“Kami bermain menentang pasukan yang lebih bagus berbanding kami dari segi persiapan fizikal, jadi risikonya terlalu tinggi.”

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 9:36am
d