arena

Nasib Komalam belum diketahui

Oleh Devinder Singh

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih membisu berhubung kemungkinan badan induk itu menyenaraikan S Komalam (gambar) ke dalam skuad kebangsaan di Sukan SEA 2017.

Kelmarin, Komalam mengesahkan dia sudah menghantar surat rayuan kepada KOM dengan menyatakan permohonan maaf atas tindakan yang mendorong namanya diketepikan untuk temasya kali ini.

Ketika KOM dan Komalam sendiri tidak membuat sebarang kenyataan berhubung masalah disiplin yang dikaitkan dengan atlet berkenaan, kemungkinan untuk dia kembali ke skuad kebangsaan dilihat amat tipis.

Bagaimanapun, jurulatih kebangsaan, Zainal Abas enggan mengulas perkara berkenaan sambil presiden, Datuk Karim Ibrahim turut tidak menjawab panggilan atau mesej yang dihantar wartawan untuk mendapatkan penjelasan.

Susulan ketiadaan Komalam, harapan Malaysia untuk memenangi emas kini dipikul Zaidatul Husniah Zulkifli yang akan bertanding dalam acara 100 dan 200 meter.

Husniah akan menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara 200m selepas KOM memilih untuk tidak mengisi kekosongan ditinggalkan Komalam.

Siti Fatima Mohammad akan bersama-sama Husniah dalam acara 100m dan kedua-duanya disertai Azreen Nabila Alias serta Norris Foo bagi acara 4x100m.

Olahraga akan bermula dengan acara maraton, Sabtu ini manakala acara lain akan dilangsungkan Selasa.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 10:31am
d