arena

Elak silap jika mahu empat terakhir

Oleh Aziman Rosdi

"Kalau kita mahu melangkah jauh dalam kejohanan ini, pemain perlu berhenti daripada terus melakukan kesilapan," kata jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya bangkit pada babak kedua untuk menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A.

Dua gol pada babak kedua oleh pemain gantian Nor Azam Azih dan N Thanabalan, malam tadi dalam aksi di Stadium Shah Alam itu memastikan Malaysia meraih kemenangan kedua bagi mencerahkan peluang mara ke separuh akhir.

"Saya melakukan pertukaran pada separuh masa kedua dan ia menjadi apabila kedua-dua pemain menjaringkan gol. Kita gagal mencari rentak pada babak pertama tapi babak kedua pergerakan pemain kita lebih baik.

"Kesilapan berlaku sekarang bagus untuk menjadi peringatan kepada pemain kerana gol yang kita dibolosi ketika menentang Brunei dan Singapura adalah kesilapan sendiri," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kim Swee melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan enam pemain yang tidak beraksi ketika menang 2-1 ke atas Brunei dalam aksi pembukaan Isnin lalu diturunkan.

Percaturan itu kurang menjadi apabila Amirul Hisyam Awang Kechik dan Syamer Kutty Abba gagal mengawal bahagian tengah dengan baik manakala penyerang S Kumaahran pula tenggelam dikekang pertahanan Singapura.

Tiada aksi yang menghiburkan dipertontonkan oleh anak buah Kim Swee pada babak pertama apabila kerap membuat hantaran kurang tepat serta sentuhan pertama kurang kemas.

Singapura yang tewas kepada Mynamar 0-2 pada aksi pertama mengejutkan penyokong tuan rumah dengan rembatan Amiruldin Nordin gagal diselamatkan penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-37.

Hanya percubaan pemain sayap Safawi Rasid benar-benar mencemaskan pintu gol Singapura namun sepakan percumanya singgah di palang gol sebelum tamat babak pertama.

Tindakan Kim Swee memasukkan Nor Azam Azih dan N Thanabalan pada babak kedua membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu menyumbat gol pada minit ke-68 dan 73 untuk menceriakan ribuan penyokong tuan rumah.

Malaysia akan meneruskan kempen menentang Myanmar pada aksi ketiga Isnin depan sebelum bertemu Laos pada perlawanan terakhir pada Rabu.

"Kita belum layak tapi peluang kita semakin cerah, kita kena menewaskan Myanmar tapi ia bukan tugas mudah," kata Kim Swee.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 12:25pm
d