arena

Kevin, Heidi tekad terus dominasi

Oleh Ajitpal Singh

KEVIN Yeap dan juara Asia, Heidi Gan dijangka mendominasi acara renang air terbuka 10km lelaki dan wanita Sukan SEA di Tasik Putrajaya, esok.

Ketika Kevin berharap muncul peserta pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam dua disiplin renang berbeza, Heidi berusaha meneruskan dominasinya selepas menang perlumbaan 5km dan 10km pada Sukan SEA Indonesia 2011, yang mana acara itu dipertandingkan buat kali pertama.

Kevin, 25, mengalih tumpuan penuh dari kolam ke perlumbaan renang air terbuka selepas dia gagal layak ke Sukan Olimpik Rio tahun lalu dalam acara 400m dan 1,500m gaya bebas.

Perenang itu menang pingat emas 400m gaya bebas pada edisi 2011 selain meraih gangsa dalam perlumbaan 10km renang air terbuka.

Selepas sedekad dalam pasukan renang kebangsaan, Kevin berkata, persembahan buruknya sejak dua tahun terakhir menyebabkan dia memutuskan untuk beralih ke acara renang air terbuka.

“Saya gagal mencatat masa lebih baik di kolam renang selepas musim 2013. Saya kecewa apabila gagal layak ke Olimpik Rio,” kata Kevin.

Perenang berpangkalan di Perth, Heidi menjadi pilihan utama meraih emas 10km wanita selepas muncul juara Asia Mei lalu.

“Sasaran terdekat saya adalah Sukan SEA. Saya mahu menghadiahkan emas buat negara di depan penyokong sendiri.

“Saya berada di Sweden baru-baru ini berlatih dan bertanding dalam perlumbaan. Saya bekerja keras untuk membaiki kepantasan dan saya juga semakin meningkat.

“Bahang panas mungkin satu cabaran esok tapi pencabar saya juga berdepan cabaran sama... saya hanya perlu menggunakan pengalaman dan menyesuaikan diri,” kata Heidi, seorang peguam, yang sudah menguji lapangan sejak Selasa lalu.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 1:32pm
d