arena

Aksi terbaik Saritha

Oleh Devinder Singh

SARITHA Cham Nong melakukan panahan terbaik dalam suasana tertekan untuk memastikan pasukan compound wanita negara meraih pingat emas pada acara final di padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Ketika aksi final dengan Vietnam terpaksa ditentukan menerusi shoot-off selepas kedua-dua pasukan terikat 225-225, segalanya bergantung kepada Saritha selaku pemanah terakhir Malaysia untuk melakukan panahan terbaik bagi memastikan kemenangan negara.

Saritha tidak mengecewakan apabila meraih 10 mata, sesatunya mata sempurna dicatatkannya dalam sembilan percubaan pada perlawanan terbabit untuk memastikan Malaysia menang dengan catatan 28-27 pada shoot-off itu.

“Saya tidak menjangka dapat 10 mata kerana terpaksa bertungkus-lumus sepanjang permainan dan ia adalah mata 10 tunggal saya di final itu,” katanya yang sepatutnya boleh memastikan kemenangan pasukan pada end keempat jika mencatat jumlah mata lebih baik daripada lapan.

“Saya gembira dapat menyumbang untuk kami mencapai kemenangan ini. Saya hanya mengikuti arahan jurulatih dan mendapat sokongan penuh rakan sepasukan.

“Sepanjang permainan, saya cuba fokus untuk mendapat 10 mata. Saya tidak bernasib baik hinggalah di penghujung permainan.”

Saritha dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh adalah sebahagian daripada anggota pasukan sama yang memenangi emas di Singapura, dua tahun lalu dan kali ini mereka menaiki podium bersama rakan sepasukan yang kali pertama menyertai Sukan SEA, Nurul Syazhera Asmi.

“Saya gembira dapat meraih emas pada Sukan SEA pertama saya dan segala usaha yang kami lakukan ketika latihan akhirnya berbaloi,” kata Syazhera.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 2:20pm
d