arena

Hoki lega permukaan dah rata

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki dalam dewan negara Muhamad Amin Rahim mengakui lega kerana gelanggang untuk acara itu boleh digunakan semula bermula hari ini selepas ditutup hampir seminggu untuk kerja-kerja memperbaiki semula permukaannya.

Amin yang ditemui pada sesi latihan, hari ini, menyifatkan permukaan gelanggang yang baru itu jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

“Sekarang saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya untuk persiapan perlawanan pertama pada Isnin ini.

“Memang pada peringkat awal agak tidak rata tapi sekarang saya boleh katakan keadaannya 100 peratus sangat baik,” katanya.

Menurutnya, barisan pemainnya mempunyai kelebihan apabila memperoleh enam sesi latihan bermula hari ini yang digunakan semaksimum mungkin.

“Kami boleh melihat kekuatan dan kelemahan yang boleh diatasi,” katanya.

Malaysia akan turun pada perlawanan pertama bermula Isnin ini bertemu Filipina dan Vietnam.

“Sepatutnya kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk menewaskan kedua-dua pasukan ini.

“Tapi seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini, kami juga agak baru untuk hoki dalam dewan. Setiap pemain nampaknya sudah bersedia untuk perlawanan pertama,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 2:23pm
d