arena

Kebangkitan Sang Juara [METROTV]

Oleh Devinder Singh

MALAYSIA mengatasi Singapura 228-222 untuk memenangi pingat emas memanah compound berpasukan lelaki Sukan SEA namun mereka hampir tidak layak ke final di Bukit Jalil, hari ini.

Trio Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip melakukan kebangkitan memberangsangkan pada pertengahan saingan separuh akhir menentang Vietnam di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara.

Pasukan negara bangkit untuk menyamakan kedudukan 227-227 sebelum memenangi shoot-off untuk menempah tiket ke final dengan peluang mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.

“Saya cuba menenangkan diri sendiri dan rakan sepasukan, memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan dan tidak untuk ke final dan kemudian memenangi emas,” kata Juwaidi, pemenang pingat perak individu semalam.

“Namun layak ke final perasaan gemuruh berbeza. Kami banyak melakukan 9 tapi ia normal apabila tertekan. Lebih mudah membuat 10 ketika latihan tapi dalam pertandingan ia berbeza.”

Pingat emas kelihatan berada dalam genggaman sejak set pertama lagi apabila Malaysia mendahului Singapura 56-55 dan kemudian mendahului hingga tujuh mata pada satu ketika.

“Pingat emas ini menjadi sasaran kami selain wanita,” kata Juwaidi, yang akan mempertahankan emas acara berpasukan campuran bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh esok. “Esok kami ada satu lagi pertandingan dalam acara berpasukan campuran yang mana kami akan cuba pertahankan.”

Kin Lip, keluarganya berkunjung dari Sabah untuk menyaksikan dia bertanding dalam pertandingan utama buat kali pertama berkata, kunci kepada kemenangan itu adalah menyesuaikan diri dengan lapangan.

“Situasi dalam latihan dan pertandingan berbeza. Saya mengambil masa agak lama juga menyesuaikan diri dengan suasana final,” katanya.

“Ini Sukan SEA ketiga saya selepas banyak menyertai pertandingan antarabangsa, keluarga saya akhirnya turun menyaksikan saya bertanding.”

Indonesia menewaskan Thailand 225-222 untuk meraih pingat gangsa.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 2:32pm
d