arena

Kim Swee rombak demi barisan terbaik

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee tidak takut untuk terus membuat rombakan dalam skuad utamanya bagi memastikan kemenangan dalam aksi paling getir Kumpulan A berdepan Myanmar di Stadium Shah Alam, Isnin depan.

Kim Swee melakukan enam pertukaran dalam aksi menentang Singapura malam tadi, daripada skuad yang mengalahkan Brunei 2-1 pada perlawanan pertama, namun ia menyebabkan skuad negara bergelut ketinggalan satu gol pada babak pertama.

Kemasukan semula pemain tengah Nor Azam Azih dan penyerang N Thanabalan mengubah situasi dengan kedua-dua pemain menyumbat pada separuh kedua untuk memastikan kemenangan 2-1.

Menurut pengendali kelahiran Melaka itu, beliau ada sebab melakukan rombakan dalam kesebelasan utama kelmarin.

“Anda tahu enam pemain yang saya turunkan itu? Mereka juga pemain berkualiti.

Saya tidak gunakan Nor Azam kerana dia bermain dalam banyak perlawanan bersama pasukannya (Pahang) sebelum ini, lihat minit permainan dia beraksi.

“Thanabalan pula baru pulih daripada kecederaan (lutut kanan), saya tidak boleh ambil risiko kehilangan pemain terbaik selepas ini kerana kita akan menentang Myanmar dan Laos,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Tiga mata yang diraih dalam perlawanan kedua itu meletakkan Malaysia di tangga kedua kumpulan, berkongsi mata dengan Myanmar enam mata yang memiliki kelebihan jaringan.

Menurut Kim Swee selepas dua perlawanan, beliau sudah mendapat gambaran lebih jelas kekuatan pasukannya dan tanpa kecederaan pemain ketika ini, tiada masalah menurunkan barisan terbaik menentang Myanmar, naib juara dua tahun lalu di Singapura.

Melalui rombakan yang sukar dijangka dalam kesebelasan utama, ia dilihat mampu menyukarkan Myanmar membaca kekuatan sebenar Malaysia.

“Pada separuh masa kedua permainan (dengan Singapura), ia menunjukkan kekuatan sebenar pasukan kita dan saya percaya kita boleh terus meningkat selepas ini.

“Saya memiliki pilihan pemain lebih baik berbanding di Bangkok (kelayakan Kejohanan AFC B-23) dan pastinya mahu menurunkan barisan terbaik setiap perlawanan.

“Pemain pula perlu merebut tempat kerana saya mungkin akan menggunakan jenteran serangan berbeza,” kata bekas pengendali kebangsaan itu.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 3:05pm
d