arena

Juwaidi tebus duka

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Mohd Khairie Khalid

MOHD Juwaidi Mazuki akhirnya menebus kegagalan dalam acara individu apabila menghadiahkan emas ketiga untuk kontinjen negara dalam acara memanah berpasukan compound lelaki di padang sintetik Majlis Sukan Negara, hari ini.

Gandingannya bersama Zulfadli Ruslan dan Lee Kin Lip berjaya mengenepikan cabaran Singapura di pentas final dengan mengumpul 228 mata, enam mata mengatasi lawan.

“Pengalaman saya dan Zulfadli mara ke penentuan pingat dalam acara individu semalam amat membantu kami bertiga menghadapi persekitaran dalam aksi final ini.

“Kami tidak terlalu memikirkan sasaran di hadapan namun lebih kepada ketenangan diri sendiri terlebih dulu. Aksi di final agak berbeza kerana pasti ada perasaan gemuruh namun kami berjaya mengatasinya,” katanya yang meraih perak manakala Zulfadli tewas dalam aksi penentuan gangsa pada acara individu, semalam.

Aksi di final menyaksikan trio negara ketinggalan pada peringkat awal namun mempamerkan kebangkitan untuk selesa mendahului lawan.

“Ini adalah hadiah kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan terutama keluarga kami yang tidak pernah berputus asa memberikan kata-kata semangat dan motivasi.

“Malah bagi saya, ini adalah hadiah untuk anak saya, Aisyah Humaira yang baru berusia sebulan 11 hari,” katanya.

Kejayaan itu turut mempertahankan emas yang dimenangi trio berkenaan pada Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Gangsa dimenangi Filipina yang mengenepikan cabaran Vietnam.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 4:02pm
d