arena

Buru pingat selepas 10 tahun menyepi

Oleh Firdaus Hashim

SELEPAS 10 tahun menyepi daripada saingan Sukan SEA, atlet ekuestrian negara Qabil Ambak Mahamad Fathil kembali mengibar cabaran apabila bakal menyertai dua acara ‘dressage’ dan ‘show jumping’ di KL2017.

Pemenang empat pingat emas temasya di Korat, Thailand, pada 2007 itu, berkata dia kini pada tahap terbaik termasuk dua kudanya yang akan beraksi pada temasya kali ini.

“Setakat ini, persiapan saya dan rakan-rakan berjalan baik walaupun terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri selepas 10 tahun tidak menyertai Sukan SEA.

“Dalam tempoh itu, saya tetap menyertai beberapa kejohanan.

“Paling penting, saya harap kuda-kuda ini tidak ditimpa kecederaan pada saat akhir kerana haiwan agak sukar dijaga jika cedera,” katanya.

Menurutnya, bagi acara ‘dressage’ dia akan menunggang kuda dikenali sebagai Walker, manakala untuk acara ‘show jumping’ bakal menggunakan kuda bernama Qalisha.

“Qalisha jauh lebih muda berbanding Walker. Namun, saya yakin Qalisha mampu menyerlah kerana pernah memenangi tempat kelapan daripada 50 peserta dalam kejohanan di Eropah sebelum ini.

“Walker pula mempunyai pengalaman 12 tahun dan saya percaya kedua-dua kuda ini mampu tampil dengan aksi menarik nanti,” katanya.

Ekuestrian yang berlangsung di Pusat Ekuestrian 3Q, Rawang akan membuka gelanggang pada Selasa ini dengan acara dressage berpasukan bakal menjadi aksi sulung yang menawarkan satu pingat emas.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 5:29pm
d