arena

Zylane tekad bangkit hadiahkan emas esok

Oleh Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly

ATLET senior Zylane Lee bertekad bangkit menebus kekecewaan dan menghadiahkan emas buat negara apabila turun beraksi dalam rutin duet teknikal acara renang berirama esok.

Selepas sekadar meraih perak dalam acara rutin solo bebas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) hari ini, Zylane yakin dia bersama gandingannya Gan Hua Wei mempunyai peluang cerah mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura.

“Kita memang kuat dan sering berlatih dalam acara duet. Sebelum ini saya tidak terlalu fokus dalam acara solo, hanya mula berlatih apabila dipertandingkan di Sukan SEA kali ini.

“Oleh itu, saya lihat peluang kita meraih emas dalam acara duet lebih cerah,” katanya.

Terdahulu aksi memberangsangkan Debbie Soh membolehkan dia menghadiahkan emas pertama kepada Singapura di KL2017 apabila mengumpul 75 mata dengan rakan senegaranya Miya Yong Hsing meraih gangsa 73.0333 mata.

Zylane yang beraksi berlatar belakangkan lagu Kevin Vasquz mengumpul 74.7 mata, meluahkan rasa kecewa apabila tewas hanya 0.3 mata kepada Debbie.

Seorang lagi perenang negara, Foong Yan Nie berpuas hati di tempat keempat dengan 71.8667 mata.

Sementara itu, Debbie berkata dia gembira dapat menghadiahkan pingat sulung untuk Singapura.

Perenang berusia 19 tahun itu yang memenangi dua emas pada Sukan SEA lalu, berkata kejayaan hari ini hasil usaha keras, termasuk menyertai pelbagai kejohanan di luar negara.

Debbie dan Miya akan turun sekali lagi bertanding dalam rutin teknikal solo pada malam ini.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 5:43pm
d