arena

Yakin lebih dua emas

Oleh Fabian Peter

PERSATUAN Badminton Malaysia meletakkan sasaran dua pingat emas untuk skuad negara apabila mereka membuka kempen Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), minggu depan tetapi Pengarah Teknikalnya Morten Frost percaya kutipan pingat tidak akan terhenti setakat itu saja.

Ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, hari ini, bekas jaguh Denmark itu berkata, Malaysia turut mampu melakukan kejutan dalam acara perseorangan lelaki selain dua emas yang disasarkan menerusi acara beregu wanita dan campuran.

Badminton memulakan kempen dengan acara berpasukan, Selasa depan.

“Kami mempunyai senarai semua pemain dalam acara individu dan berdasarkan ranking dunia, kami tahu siapa yang diletakkan sebagai pemain pilihan.

“Apa yang mengejutkan, saya rasa perseorangan lelaki adalah saingan yang paling terbuka sekali. Kita sebenarnya mampu melakar kejayaan dan saya menaruh keyakinan ke atas Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) dan Lee Zii Jia untuk tampil cemerlang.

“Indonesia mendaftarkan Jonatan Christie yang sudah pasti akan diletakkan sebagai pilihan utama kerana ranking dunianya (tangga ke-23), diikuti Khosit Phetpradab dari Thailand (ke-40), pemain Indonesia Ihsan Maulana Mustofa (ke-47) dan Iskandar (ke-52).

“Kita perlu ingat Nguyen Tien Minh (ke-53) dari Vietnam turut serta dan wakil Singapura Loh Kean Yew juga mampu memberi cabaran. Bagaimanapun jika pemain-pemain kita fokus dan melakukan pukulan-pukulan padu, kita mampu melakukan kejutan,” katanya.

Pada edisi terdahulu di Singapura dua tahun lalu, Chong Wei Feng muncul juara selepas mengatasi rakan senegara Mohamed Arif Abdul Latif dalam aksi final.

Ketika diminta mengulas mengenai acara perseorangan wanita, Frost berkata: “Sama seperti perseorangan lelaki, wakil negara Soniia Cheah diletakkan sebagai pilihan keempat berdasarkan ranking dunia.

“Cuma apa yang berbeza, Thailand dan Indonesia menghantar pemain yang jauh lebih hebat. Juara bertahan Busanan (Ongbamrungphan) yang menduduki ranking ke-12 dunia adalah pilihan utama diikuti pilihan kedua dari Indonesia, Fitriani (ke-21) dan Pornpawee Chochuwong (ke-22).

“Soniia berada di tahap terbaik dan dia berlatih dengan begitu gigih, jadi kita lihat nanti. Perseorangan kedua, Goh Jin Wei (pemenang gangsa 2015) kembali menjalani latihan minggu lalu tetapi kami masih memantau perkembangannya. Dia akan sedia menjelang temasya nanti,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 7:15pm
d