arena

Haiqal atau Nixson?

Oleh Saiful Affendy Sapran

SELEPAS ujian masa kali ketiga hari ini, belum ada keputusan siapa antara Nixson Kennedy atau Muhammad Haiqal Hanafi menyertai kuartet 4x100 meter.

Namun, jurulatih pecut lelaki negara Mohd Poad Kassim menegaskan beliau sudah mempunyai gambaran siapa antara mereka berdua akan dipilih.

Jelas Poad, beliau perlu menunggu laporan rasmi Institut Sukan Negara (ISN) berdasarkan ujian masa ketiga antara Nixson dan Haiqal yang dilakukan hari ini.

“Saya perlu tunggu laporan lengkap ISN kerana kedua-dua mereka menunjukkan prestasi yang baik pada ujian masa hari ini.

“Calon pelari pertama ini akan diketahui dalam masa terdekat, paling cepat 19 Ogos,” katanya yang ditemui selepas ujian masa ketiga di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).

Tiga pelari yang sudah terpilih ialah Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap serta Khairul Hafiz Jantan.

Semalam, Ketua Jurulatih skuad olahraga negara Zainal Abas berkata, ujian masa ketiga perlu dilakukan selepas kedua-dua pelari menunjukkan persaingan sengit ketika ujian masa pertama dan kedua.

Katanya, Nixson dilihat mempunyai kelebihan pada ujian masa pertama namun Haiqal pula menunjukkan kebolehannya pada ujian kedua.

Acara 4x100m menjadi antara tumpuan utama serta prospek untuk meraih emas selain 100 dan 200m menerusi Khairul Hafiz.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 9:49pm
d