arena

Balet kasi kelebihan Hua Wei

Oleh Jumiati Rosly

PERNAH beraksi sebagai penari balet memberi kelebihan kepada Gan Hua Wei untuk mengejutkan perenang pilihan Singapura apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara melalui acara renang berirama di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Berbaju ungu diiringi muzik rancak lagu Torn daripada filem High Strung, setiap rutin Hua Wei mendapat tepukan gemuruh penonton.

“Saya pilih lagu itu kerana tertarik dengan filem High Strung menceritakan kisah penari balet kerana sebelum ini saya juga penari balet.

“Saya mula menari ballet sejak umur dua tahun sehingga 2014 ketika saya berumur 15 tahun,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Turun sebagai perenang kesembilan, Hua Wei yang baru berumur 18 tahun mengumpul 73.8386 mata untuk mengatasi tipis Debbie Soh yang meraih perak dengan perbezaan hanya 0.0133 mata.

“Penonton memberi motivasi kepada saya hari ini, sejak saya naik ke pentas sehingga tamat. Saya tak mahu kecewakan mereka, apa lagi di tempat sendiri,” katanya.

Pencapaian terbaik Hua Wei ialah di Terbuka Jerman tahun lalu, dalam rutin teknikal solo apabila memperoleh pingat perak.

Esok, Hua Wei yang digandingkan dengan Zylane Lee, pemenang pingat perak pada sebelah petang, menjadi harapan negara untuk mempertahankan pingat emas melalui rutin teknikal duet.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 10:24pm
d