arena

Farhanita pilih ragbi 7s

Oleh BERNAMA

WALAUPUN pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2015 di Phuket, Thailand, Siti Farhanita Maddin, 25, akhirnya memilih untuk beraksi dalam skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bekas pesilat dari Labuan itu berkata, dia memilih untuk beraksi dalam sukan ragbi kali ini bagi mencabar dirinya sendiri selain mengenali sukan ‘lasak’ itu dengan lebih mendalam.

“Saya bermula dengan sukan bela diri ini sejak berumur 15 tahun. Kali ini saya pilih untuk mencabar diri saya sendiri dan saya juga nak perluaskan pengetahuan dan pengalaman saya dalam bidang sukan lain,” katanya.

Siti Farhanita yang baru memulakan latihan bersama pasukannya sejak April lalu, menganggap kerjasama yang diberi rakan sepasukannya sangat baik dalam membantu beliau mengejar apa yang tertinggal semasa latihan.

“Saya akan buat latihan sendiri untuk kejar balik semua ilmu dan latihan yang jurulatih saya berikan kepada rakan saya. Semua beri kerjasama yang baik dan saya banyak belajar daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Normasyirah Zahari, 36, yang juga bekas pemain bola sepak wanita negara berkata, selain minat terhadap sukan ragbi, keinginan untuk bertukar dan mencuba sukan baru menjadi penyebab utama dia menyertai sukan itu sejak 2008.

“Saya pernah beraksi (acara bola sepak) pada Sukan SEA 2007 di Korat tapi masa itu sukan bola sepak wanita masih belum dikenali. Saya mula bergiat aktif dengan ragbi pada 2008 hingga sekarang,” katanya.

Acara ragbi 7s akan berlangsung selama dua hari bermula esok di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 11:35am
d