arena

Jadikan ia satu peringatan

Oleh Syafiq Aznan

KEKALAHAN besar 0-5 skuad bola sepak wanita di tangan Myanmar seharusnya dijadikan peringatan keras selepas terbukti wujudnya jurang yang begitu besar antara dua pasukan Asia Tenggara itu.

Pengendalinya, Mohd Asyraaf Abdullah berkata, inilah realiti yang harus ditelan apabila anak buahnya berdepan pasukan yang menjalani persiapan lebih rapi dan berada di ranking ke-45 dunia sekali gus memperagakan persembahan yang begitu berbeza berbanding pasukannya.

“Anda sendiri saksikan betapa pemain Myanmar memiliki kemahiran teknikal individu yang begitu baik dan beraksi seolah-olah pemain bola sepak lelaki selain mereka memiliki keyakinan memegang bola dan melakukan percubaan.

“Tapi saya tidak mahu menyalahkan pemain kerana mereka inilah pemain yang saya ada. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan komitmen baik dan yang paling penting, pasukan ini adalah pasukan muda dan sedang dalam pembinaan.

“Namun keputusan ini menunjukkan betapa tahap kami sudah begitu jauh meskipun bertanding di peringkat Asia Tenggara saja. Jadi perhatian lebih serius perlu diberikan kerana jika tidak, kami akan ketinggalan berbanding pasukan lain,” katanya.

Pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam itu, kekentalan pertahanan skuad Malaysia yang mengikat lawan tanpa jaringan pada babak pertama ‘roboh’ pada babak kedua apabila dibolosi lima gol dalam tempoh 45 minit hasil jaringan sendiri Nor Athirah Farhanah Zairi serta dua jaringan masing masing daripada Win Theigi Tun dan Khin Moe Wai.

Pada masa sama, Asyraaf turut mengakui beliau sudah mengibarkan bendera putih dalam perebutan merebut pingat gangsa selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua aksi yang diharungi setakat ini.

“Kami memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk mencerahkan peluang meraih pingat gangsa namun sebaliknya yang berlaku, jadi secara logiknya kami sudah terkeluar daripada perebutan pingat gangsa.

“Dua aksi selepas ini bertemu Thailand dan Vietnam akan dijadikan medan untuk memberi pendedahan kepada pemain sebagai persiapan untuk menghadapi temasya akan datang namun saya tetap mengharapkan pemain dapat memberi saingan kepada pasukan lawan,” ujarnya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 2:20pm
d