arena

NAAM harap lepasi sasaran

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Mohd Khairie Khalid

PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menaruh harapan sasaran empat emas mampu diatasi berdasarkan semangat tinggi yang dipamerkan pemanah negara.

NAAM kini semakin optimis untuk mencapai lima emas dengan harapan disandarkan kepada barisan pemanah recurve negara.

Skuad compound mengakhiri cabaran dengan menetapi sasaran apabila melengkapkan emas ketiga sebentar tadi menerusi acara berpasukan campuran selepas cemerlang dalam berpasukan lelaki dan wanita semalam.

Menurut Presiden NAAM Datuk Seri Mohd Johari Baharum, walaupun terlepas dua emas dalam acara individu, pencapaian yang diraih pemanah compound amat menggembirakan.

“Kami masih ada lima acara dalam recurve dan potensi untuk menambah dua emas cerah,” jelasnya.

Acara individu lelaki yang diketuai pemanah Olimpik Khairul Anuar Mohamad dan berpasukan dilihat mempunyai potensi tinggi menghadiahkan emas untuk negara.

Saingan recurve akan bermula Ahad ini di padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Ditanya mengenai ganjaran kepada pemanah negara, beliau berkata, ia boleh dibincangkan namun enggan menjadikan ia sebarang dorongan utama kepada atlet.

“Kami mahu mereka semangat kerana cinta kepada negara. Itu paling penting namun soal ganjaran boleh dibincangkan,” jelasnya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 2:43pm
d