arena

Nafi tarik diri anjur Sukan SEA 2019

Oleh Jumiati Rosly

TUAN rumah Sukan SEA 2019, Filipina menafikan mereka menarik diri untuk menganjurkan edisi ke-30 itu selepas mereka secara rasminya diumum sebagai tuan rumah temasya dwitahunan terbesar di Asia Tenggara.

Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Tunku Imran Tuanku Ja’afar menafikan khabar angin mengenai perkara itu yang timbul sebelum ini.

“Sebenarnya mereka tidak pernah menarik diri, kami di Malaysia hanya menantikan masa untuk menyerahkan giliran kepada Filipina dan untuk menunggu pengesahan terakhir bagi majlis perasmian.

“Ia bukanlah keputusan yang ditukar balik tapi hanya perlu pengesahan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis SEAGF di sini hari ini.

Tunku Imran yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, beliau percaya negara itu berkemampuan untuk menganjurkannya berdasarkan rekod mereka sebelum ini.

Untuk rekod, Filipina pernah menganjurkan Sukan SEA sebanyak tiga temasya sebelum ini dengan kali terakhir menganjurkannya di Manila pada 2005. Manila juga menjadi hos pada 1981 dan 1991.

Sementara itu Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Jose Cojuangco Jr berkata, negara itu bercadang untuk menganjurkan temasya itu di tiga wilayah Bulacan, Pampanga dan Zambales yang mana ia terletak berdekatan Teluk Subic yang juga bekas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat.

“Kami tidak sempat untuk membincangkan secara terperinci, namun saya mencadangkan bagi mengelakkan masalah kesesakan jalan di Manila, dengan memilih tiga wilayah ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 2:51pm
d