arena

Kemarau emas berpanjangan?

Oleh Naqib Nor Said

SKUAD sepak takraw negara tiada pilihan selain menundukkan Thailand 3-0 hari ini (Sabtu) bagi menamatkan kemarau 26 tahun pingat emas acara berpasukan lelaki selepas rebah di bumi sendiri kepada Indonesia 2-1 di Stadium Tertutup Titiwangsa, malam tadi.

Kekalahan kepada Indonesia di depan kira-kira 3,000 peminat tempatan jelas sukar diterima sekiranya mengambil kira persiapan rapi dibuat sejak setahun lalu, biarpun menang ke atas Brunei 3-0 dalam aksi sulung pada sebelah pagi.

Namun, kekalahan itu belum memadamkan peluang mereka untuk memenangi emas dengan syarat perlu mengatasi Thailand 3-0 dalam aksi terakhir kumpulan hari ini (Sabtu) sambil berharap Brunei melakar kejutan ke atas Indonesia.

Regu pertama negara mengatasi Indonesia 23-25, 21-16, 21-11 untuk mendahului 1-0 namun regu kedua tumpas 11-21, 21-18, 11-21 diikuti regu ketiga 14-21, 18-21.

Sebelum itu Thailand hampir pasti mempertahankan pingat emas selepas mudah mengatasi Indonesia dan Brunei masing-masing dengan keputusan 3-0 sekali gus mengekalkan rekod bersih menang ke semua enam set aksi.

Berdasarkan keputusan dua aksi pertama, Thailand kini gah mendahului carta kumpulan dengan empat mata, manakala Indonesia dan Malaysia berkongsi dua mata di tangga kedua dengan Brunei belum meraih sebarang mata.

Bagi tekong utama negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi, mereka tiada pilihan selain perlu bangkit melenyapkan ego Thailand pada aksi terakhir kumpulan hari ini (Sabtu) sekiranya berhasrat meraih perak.

"Kami pernah mendapat latihan serta bimbingan jurulatih Thailand yang saya yakin sangat penting dan berguna dalam meningkatkan kemahiran selain mempertajamkan teknik ketika melakukan servis,” ujarnya.

Sebagai rekod, hanya empat pasukan mengambil bahagian pada acara regu berpasukan iaitu Malaysia, Thailand, Brunei dan Indonesia dengan menggunakan format liga satu pusingan.

Setiap pasukan yang mencetak kemenangan akan meraih dua mata sekali gus menyaksikan pingat emas menjadi milik pasukan yang mencatatkan mata tertinggi dalam tiga perlawanan.

Pada kejohanan sama dua tahun lalu di Singapura, Malaysia terpaksa akur kepada Thailand apabila tewas pada perlawanan terakhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara regu berpasukan lelaki adalah pada Sukan SEA Manila 1991.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 12:47am
d