arena

Valencia tamat badi kekalahan

Oleh AFP

MADRID: Valencia menamatkan badi kekalahan tiga aksi berturut-turut menentang Las Palmas ketika musim baru La Liga Sepanyol bermula suram awal pagi tadi berikutan serangan pengganas di Catalunya yang mengorbankan 14 orang.

Bertafakur selama seminit sebagai menghormati mangsa diadakan di Valencia dan di Leganes, yang menerima kunjungan Alaves, dengan lagu tradisional Catalunya “Cant dels Ocells” (“Lagu Burung”), turut dinyanyikan.

Penyerang Itali, Simone Zaza, bekas penyerang West Ham yang menyertai Valencia secara perpindahan tetap pada musim panas ini selepas dipinjamkan oleh Juventus, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-22 selepas mendapat umpanan Carlos Soler.

Lebih buruk buat Las Palmas, seperti Valencia mereka berakhir di tangga pertengahan musim lalu, apabila mereka beraksi 10 pemain selepas pemain tengah Croatia, Alen Halilovic dilayangkan kad merah.

Las Palmas menang tiga aksi terakhir liga antara kedua-dua pasukan itu termasuk 4-2 hampir 12 bulan lalu.

Alaves, yang tewas final Piala Raja Sepanyol 1-3 kepada Barcelona musim lalu sebelum kehilangan jurulatih Mauricio Pellegrino kepada Southampton dalam Liga Perdana Inggeris, kecundang 0-1 di Leganes.

Ketika jurulatih Argentina, Luis Zubeldia kini mengambil alih kerusi panas itu tetapi tanpa pemain tengah Enzo Zidane, anak lelaki bos Real dan legenda Perancis, Zinedine, Alaves gagal memulakan era baru dengan nota kemenangan.

Penyerang Brazil, Gabriel menyumbat gol tunggal perlawanan selepas 24 minit buat Leganes yang berjaya mengelak tersingkir musim lalu.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 9:12am
d