arena

Fauzan optimis pungut emas

Oleh BERNAMA

PELUMBA elit negara Fauzan Lutfi optimis mampu menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negara menerusi acara ujian masa berpasukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Fauzan berkata, skuad berbasikal negara kini dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya sejak dua bulan lalu termasuk menjalani latihan intensif di Thailand.

“Ujian masa berpasukan ini kalau kita tengok kali terakhir dipertandingkan adalah pada Sukan SEA Myanmar 2013 dan kami berjaya meraih gangsa.

“Jaraknya pun lain dalam 80 kilometer dan laluan mendaki dan kali ini 50 kilometer. Insya-Allah kami boleh hasilkan sesuatu,” katanya.

Fauzan, 31, yang sudah enam kali menyertai pasukan berbasikal negara berkata, bagaimanapun skuad negara tidak boleh memandang rendah keupayaan pelumba lain khususnya Thailand, Vietnam dan Indonesia.

“Jadi peluang kami untuk menang emas Insya-Allah ada dan kami akan bagi yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut menyeru rakyat di negara ini terus memberikan sokongan padu kepada atlet negara.

Untuk rekod, skuad berbasikal ujian masa berpasukan negara memenangi emas pada Sukan SEA Manila 2005 dan gangsa Sukan SEA Myanmar 2013.

Acara ujian masa berpasukan berlangsung Selasa ini membabitkan jarak sejauh 51km bermula dan berakhi di Dataran Nilai.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 11:27am
d