arena

Nadal terkulai di tangan Kyrgios

Oleh AFP

CINCINNATI, Amerika Syarikat: Pemain Australia, Nick Kyrgios mengejutkan pemain nombor satu dunia yang baru Rafael Nadal 6-2, 7-5 sebentar tadi, menang dua perlawanan sehari untuk layak ke separuh akhir kejohanan Masters Cincinnati Jelajah ATP dan WTA.

Pada hari yang mana juara bertahan Karolina Pliskova menang dua aksi sehari buat kali ketiga musim ini untuk mengukuhkan cengkamannya di ranking nombor satu dunia, Kyrgios mencuri tumpuan dengan menyingkirkan juara 15 gelaran Grand Slam itu.

Pemain berusia 22 tahun dari Canberra itu yang menduduki ranking ke-23, menang set pertama dalam hanya 25 minit, kehilangan hanya tiga mata daripada servisnya ketika mencuri tujuh daripada lapan mata servis kedua bintang Sepanyol berusia 31 tahun itu.

Kyrgios akan bertemu pemain Sepanyol, David Ferrer pada separuh akhir esok manakala pemain ranking ke-11 dari Bulgaria, Grigor Dimitrov berdepan pemain Amerika Syarikat, John Isner pada satu lagi separuh akhir.

Terdahulu, Kyrgios menundukkan pemain Croatia, Ivo Karlovic 4-6, 7-6 (8/6), 6-3 manakala Nadal mengetepikan rakan senegara Albert Ramos-Vinolas 7-6 (7/1), 6-2.

Karolina, yang dicabar pemain Romania, Simona Halep bagi status nombor satu dunia, mulanya mengalahkan pemain Itali, Camila Giorgi 6-3, 4-6, 6-0 dalam satu daripada lima perlawanan yang ditangguh kelmarin kerana hujan lebat.

Dengan hanya rehat dua jam antara perlawanan itu, pemain berusia 25 tahun dari Republik Czech itu mengungguli pemain ranking kelima dari Denmark, Caroline Wozniacki 6-2, 6-4 untuk menempah tiket separuh akhir esok menentang juara Wimbledon, Garbine Muguruza.

“Saya berasa amat bagus,” ujar Karolina. “Saya memulihkan diri dengan baik, jadi saya akan bersedia untuk aksi esok.”

Pilihan kedua Simona menyingkirkan pilihan ketujuh dari Britain, Johanna Konta 6-4, 7-6 (7/1) sebelum menempah pertembungan separuh akhir menentang pemain wildcard dari AS, Sloane Stephens.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 11:55am
d