arena

Balas dendam kekalahan lalu

Oleh Aida Adilah Mat

HANYA tinggal selangkah lagi buat skuad bola jaring merealisasikan impian emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila melakarkan kemenangan mudah 70-28 ke atas Brunei pada separuh akhir sekali gus menempah tiket ke final, esok.

Malaysia akan bertemu musuh tradisi, Singapura pada perlawanan akhir selepas tuan rumah Sukan SEA 2015 itu menundukkan Thailand 55-43 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pertemuan dua musuh ketat di pentas akhir itu adalah peluang terbaik buat negara membalas dendam dan merampas emas yang dimenangi Singapura, dua tahun lalu.

Bagi pemain negara Puah Pei San, kemenangan mengatasi Brunei menjadi motivasi terbaik buat mereka membalas dendam kekalahan kepada Singapura.

“Ini peluang terbaik saya untuk membantu negara meraih emas selepas dua tahun lalu tidak disenaraikan dalam pasukan.

“Semua pemain akan memberikan yang terbaik kerana hanya emas yang menjadi impian semua pemain dan ia adalah hadiah untuk negara,” katanya yang menjadi jurulatih kepada atlet junior negara di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Mengulas mengenai strategi yang akan digunakan apabila turun berdepan Singapura, Peh San berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada jurulatih untuk membuat percaturan.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara bola jaring pada Sukan SEA 2001 ketika negara menjadi tuan rumah.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 2:30pm
d