arena

Thai kata takraw Malaysia tiada perubahan

Oleh Naqib Nor Said dan Azlan Muhammad Zain

PEREJAM veteran Thailand, Pornchai Kaokaew terkejut melihat prestasi skuad sepak takraw Malaysia masih di tahap sama selepas membantu negaranya mempertahankan emas acara regu berpasukan lelaki di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

Thailand mengesahkan kemenangan pingat emas kali ke-16 selepas menundukkan Malaysia 3-0, kemenangan ketiga daripada empat perlawanan.

Pornchai yang ditemui selepas majlis penyampaian pingat, berkata cabaran Malaysia hanya melalui regu pertama diketuai Mohd Syahir Rosdi.

“Hanya regu pertama Malaysia agak sukar untuk kami kalahkan, ia bukan bermakna regu kedua dan ketiga mereka tidak bagus tetapi regu kami ternyata lebih kuat.

“Tiada banyak peningkatan ditunjukkan Malaysia sebaliknya mereka masih di tahap sama... sama seperti penampilan sulung saya di Sukan SEA 2003,” kata perejam berusia 36 tahun itu.

Pendapatnya berasas kerana Malaysia dilihat sukar menandingi kehebatan Thailand bermula dengan kekalahan regu pertama Farhan Adam, Mohd Hanafiah Dolah dan Mohd Syahir 21-17, 21-15.

Sisa harapan untuk melihat kebangkitan skuad negara lenyap apabila regu kedua diketuai Mohd Safarudin Abu Bakar tewas mudah 21-10, 21-6 sebelum Thailand mengesahkan kemenangan 21-9, 21-8 menerusi regu ketiga mereka selepas itu.

Pornchai menegaskan dia hanya akan bersara pada usia 40 tahun sekali gus memberi isyarat awal kepada Malaysia betapa laluan getir tetap menanti mereka untuk memenangi emas pada dua temasya akan datang.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 3:15pm
d