arena

Dapat gangsa sudah bonus

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad olahraga Brunei tidak menyasarkan sebarang pingat buat barisan lima pelari pecut mereka.

Pengurus pasukan Md Shahjohan Shari berkata, sasaran mereka adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100, 200 dan juga 4x100 meter lari berganti-ganti.

Jika dapat menang pingat, ia bonus buat kami,” katanya.

Bagi acara 100m, Brunei akan diwakili Md Fakhri Ismail yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.59 saat dan Md Asy Syafi’e Md Bohari, manakala 200m akan diwakili Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid yang baru memecahkan rekod kebangsaan negara itu dengan 21.64s.

Turut tersenarai Abdul Rahim Abdullah dan Muhammad Faaizul Abdullah yang akan membawa cabaran negara itu dalam acara 4x100m lari berganti-ganti.

Brunei tidak pernah memperoleh emas olahraga sejak menyertai sukan dwitahunan itu pada 1977 dengan pencapaian terbaik mereka adalah satu perak masing-masing di di Jakarta 1979 dan Chiang Mai 1995.

Shahjohan berkata walaupun masyarakat di negara itu lebih memberikan tumpuan kepada akademik, sokongan kerajaan dan peranan dimainkan sekolah sukan menarik minat masyarakat ke dalam bidang sukan.

“Di Terbuka Singapura hari itu, kuartet 4x100m kami memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 40.92s berbanding rekod terdahulu, iaitu 40.95s yang dicatatkan pada Sukan SEA Singapura. Dalam acara olahraga, larian jarak jauh paling banyak diminati,” katanya.

Secara keseluruhan, negara yang mempunyai penduduk kurang daripada setengah juta itu, sudah meraih 11 emas, 41 perak dan 132 gangsa sepanjang penyertaan di Sukan SEA sebanyak 18 kali, tidak termasuk edisi kali ini.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 3:27am
d