arena

Gimnastik sasar dua emas

Oleh Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Sukan gimnastik artistik bakal membuka tirainya hari ini dengan 12 pingat emas menjadi taruhan.

Selepas memenangi tiga emas pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sekadar menyasarkan dua emas daripada kategori wanita untuk sukan gimnastik artistik.

Beberapa kecederaan yang menghantui gimnas negara berkemungkinan menjadi alasan buat badan induk itu meletakkan sasaran lebih rendah berbanding temasya lalu.

Bulan lalu, gimnas senior negara, Tracie Ang dan Nur Eli Ellina Azmi mengalami kecederaan.

Ellina cedera pergelangan kaki ketika menjalani latihan di Brisbane, Australia dan sedang dalam proses pemulihan manakala Tracie berharap dapat mengurangkan kesakitan di bahagian belakangnya.

Taruhan terbaik negara sekali lagi terletak kepada Farah Ann Abdul Hadi yang memenangi dua emas di Singapura dalam acara senaman lantai dan berpasukan.

Pada temasya tahun lalu, skuad gimnastik artistik negara meraih tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa dengan emas disumbang oleh skuad wanita acara berpasukan, Farah Ann dalam senaman lantai dan Ing Yueh (batang titian).

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 3:47am
d