arena

Tampil berbisa pada aksi kedua

Oleh Firdaus Hashim

Petaling Jaya: Pemain futsal wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli bertekad untuk tampil lebih berbisa apabila Malaysia turun berdepan Indonesia pada aksi kedua Sukan SEA KL2017 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, petang ini.

Intan, 19, yang pertama kali mewakili negara di temasya dwitahunan itu mengaku gugup pada aksi sulung menentang Myanmar kelmarin hingga menjejaskan tumpuannya ketika berada di depan gawang lawan.

Bagaimanapun, pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu berjanji untuk tampil lebih tajam, sekali gus membantu Malaysia meraih kemenangan kedua pada temasya kali ini.

“Saya akui persembahan ketika bertemu Myanmar cukup hambar dan saya mahu lebih baik pada aksi kedua nanti.

“Banyak peluang saya sia-siakan, malah semua percubaan yang saya lakukan tersasar jauh.

“Mungkin disebabkan rasa gemuruh kerana ini adalah penampilan pertama dalam Sukan SEA. Sebagai pemain saya kena cepat menyesuaikan diri dan saya yakin masalah itu tidak akan berulang lagi selepas ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Kelmarin, skuad kendalian Muizzudin Haris berjaya meraih tiga mata penuh dalam aksi pertama apabila menewaskan Myanmar dengan 2-1.

Kemenangan itu nyata melegakan Muizzudin yang berharap jentera serangan pasukannya akan tampil lebih garang dalam aksi berikutnya.

Nada sama turut dikongsi rakan sepasukan Intan, Steffi Sarge Kaur Singh yang percaya ‘skrip berbeza’ bakal disajikan skuad negara.

“Saya harap kita mampu memberi penyudah lebih tajam di depan pintu gol nanti dan pastinya aksi kita kali ini perlukan fokus dan tumpuan yang lebih tinggi kerana Indonesia juga sebuah pasukan yang kuat.

“Keserasian yang ditunjukkan jentera hadapan dalam latihan hari ini (semalam) sudah menampakkan keyakinan betapa kami akan turun lebih tajam,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 4:21am
d