arena

Waspada ancaman Toffees

Oleh AFP

PENCABAR kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Manchester City yang berwajah baru di bawah kendalian Pep Guardiola berdepan ujian awal musim apabila Ronald Koeman membawa Everton berkunjung ke Stadium Etihad, awal pagi Selasa ini.

Dengan memperagakan pemain baru bernilai sekitar £150 juta (RM829 juta), City bermula baik pada kempen kali ini selepas menang 2-0 ke atas kelab pendatang baru Brighton & Hove Albion hujung minggu lalu.

Namun Everton juga kelihatan mantap, berbelanja melebihi £130 juta (RM718 juta) selepas memecah rekod kelab membeli Gylfi Sigurdsson dengan harga £45 juta (RM248 juta) minggu ini, dan mereka membenam City 4-0 kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu Januari lalu.

“Mereka pasukan ternama dan mereka mempunyai pemain penting,” kata Guardiola, pengurus City.

“Mereka kehilangan pemain penting (Romelu) Lukaku, tapi mereka memiliki kelompok pemain yang bagus, pemain tengah dan penyerang. Mereka satu daripada pasukan terbaik dalam Liga Perdana, saya amat yakin mengenainya.

“Saya jangkakan mereka akan bermain dengan cara yang sama dan mengasak benteng pertahanan kami.

“Sandro Ramirez dan Wayne Rooney biasa bermain cara sebegitu. Mereka memiliki benteng pertahanan yang kuat. Mereka mempunyai pemain hebat dan berbahaya ketika serangan balas pantas.”

Kekalahan 0-4 City di Goodison Park Januari lalu antara keputusan buruk Guardiola dalam musim sulungnya di England, yang berakhir dengan pasukannya ketinggalan 15 mata di belakang juara Chelsea di tangga ketiga.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 10:10am
d