arena

Stenson intai Kejohanan Wyndham

Oleh AFP

HENRIK Stenson, yang memburu kemenangan pertamanya sejak menjuarai Terbuka British tahun lalu, merakam catatan 66 berturut-turut untuk mendahului satu pukulan pada Kejohanan Wyndham, awal pagi tadi.

Bekas pemain nombor dua dunia itu menamatkan aksi dengan empat birdie dalam enam lubang terakhir untuk mengumpul 16 bawah par 194 pada kejohanan Jelajah PGA AS itu di Sedgefield Country Club di Greensboro, Carolina Utara.

“Perlu terus menggunakan setiap peluang,” kata Stenson, yang menduduki ranking keempat dunia. “Apa yang saya lakukan setakat ini amat bagus dan saya bermain di lapangan ini dengan cara terbaik saya fikirkan. Saya harap ia sama (bagi pusingan akhir).”

Pemain Amerika Syarikat, Kevin Na (65), pendahulu bersama pusingan kedua Webb Simpson (68) dan Ollie Schniederjans (66) terikat di tangga kedua satu pukulan di belakang dengan 15 bawah par 195.

Johnson Wagner mencatat lima bawah par 65 dan berkongsi tangga kelima, dua pukulan di belakang Stenson.

Membuktikan kenapa dia adalah pemain ranking terbaik pada kejohanan itu, Stenson dari Sweden menamatkan aksi dengan cara sama dia memulakan pusingannya, dengan empat birdie dalam enam lubang terakhir.

Dia membenam dua birdie berturut-turut pada lubang kedua dan ketiga serta lubang kelima dan keenam. Dia bogey lubang keempat par-empat.

Jika Stenson muncul juara awal pagi esok, ia adalah kejuaraan pertamanya sejak memenangi kejuaraan utama sulung pada Terbuka British 2016 di Royal Troon. Dia berkongsi tangga ke-11 pada Terbuka British tahun ini.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 11:46am
d