arena

Optimis lebih dua emas

Oleh BERNAMA

BERDASARKAN prestasi baik pemain, skuad badminton negara diyakini mampu membuat kejutan dan melepasi sasaran dua pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Tujuh pingat emas ditawarkan dalam sukan badminton yang membuka tirai pada 22 hingga 29 Ogos ini di Arena Axiata sebagai gelanggang rasmi acara itu.

Malaysia meletakkan dua sandaran pingat emas di bahu beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei serta beregu campuran Goh Soon Huat/Shevon Lai Jamie pada temasya kali ini.

Selain itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyasarkan dua perak dan empat gangsa.

Walaupun perseorangan lelaki diwakili Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin tidak diletakkan sebarang sasaran, namun mereka dijangka membuat kejutan.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika dihubungi Bernama percaya prestasi Iskandar kini semakin baik sejak kehadiran ketua jurulatih perseorangan lelaki Datuk Misbun Sidek yang telah menaikkan semangat pemain itu untuk terus berusaha.

“Dengan adanya bantuan Misbun, saya rasa kita ada peluang raih emas perseorangan lelaki. Kalau bukan Iskandar, mungkin Zii Jia. Mereka berdua tunjuk kesungguhan dan berada pada tahap terbaik tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Mohamad Norza berkata, Iskandar bagaimanapun perlu berhati-hati dengan pihak lawan seperti pemain Indonesia Jonatan Christie yang kini berada di ranking 23 dunia dan Ihsan Maulana (47), Khosit Phetpradab (40) dan Suppanyu Avihingsanon (57) dari Thailand serta pemain Vietnam Nguyen Tien Minh (54).

Iskandar, juara kebangsaan yang kini berada di ranking ke-52 dunia, berkata beliau bakal mengetahui siapa pencabarnya selepas undian badminton dijalankan 21 Ogos ini pada mesyuarat pengurus pasukan.

Badminton akan bermula dengan perlawanan bagi acara pasukan iaitu pada 22 Ogos sebelum acara perseorangan mulai 26 Ogos ini.

Di Singapura dua tahun lepas, skuad badminton negara meraih dua emas melalui acara perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 12:37pm
d