arena

Skuad memanah bidik empat rekod baru

Oleh Azlan Muhammad Zain

BARISAN pemanah negara mempamerkan persembahan membanggakan dalam aksi kelayakan recurve apabila melakar dua rekod Sukan SEA dan kebangsaan di padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Khairul Anuar Mohamad mendahului aksi kelayakan recurve individu dengan melakar 682 mata selepas menamatkan 72 panahan pada jarak 70 meter sekali gus membolehkan dia memecahkan rekod kejohanan yang dilakukan bekas pemanah negara Cheng Chu Sian yang melakar 677 mata pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Malah dia turut memecahkan rekod kebangsaan, 678 mata miliknya sendiri yang dilakukan pada siri Piala Dunia 2012 di Turki.

Kecemerlangannya berterusan dalam pusingan kelayakan recurve berpasukan apabila pungutan matanya bersama Mohd Akmal Nor Hasrin dan Haziq Kamaruddin mengumpul 2009 mata sekali gus memperbaharui rekod kejohanan, 1968 mata yang turut dilakar Khairul, Haziq dan Atiq Bazil Bakri di Sukan SEA 2013.

Rekod kebangsaan milik Mohd Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz yang mengumpul 1993 mata ketika Sukan Olimpik Beijing 2008 turut dipadamkan.

Khairul dan Akmal akan meneruskan aksi suku akhir dalam acara individu pada 2 petang ini manakala Nur Afisa Abdul Halil dan Nur Aliya Ghapar menggalas cabaran bagi kategori wanita.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 12:58pm
d