arena

Myanmar tak cuak

Oleh Aziman Rosdi

PEMAIN pertahanan skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) Myanmar, Nan Wai Min tetap yakin dapat menewaskan Malaysia di Stadium Shah Alam esok untuk mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A.

Wai Min berkata, mereka tidak gentar untuk berdepan tuan rumah meskipun akan mendapat sokongan padu penyokong.

“Saya fikir kedua-dua pasukan memiliki keupayaan sama, masing- masing ada peluang untuk menang.

“Saya percaya kami boleh menang dan menjadi juara kumpulan kerana itu sasaran kami,” kata Wai Min.

Tiada tekanan buat Myanmar, naib juara Sukan SEA Singapura 2015, untuk turun menentang Malaysia pada aksi terakhir kumpulan selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir hasil kemenangan ke atas Singapura 2-0, Laos 3-1 dan Brunei 6-0.

Myanmar kendalian jurulatih dari Jerman, Gerd Zeise hadir dengan reputasi hebat apabila dibarisi ramai pemain skuad yang beraksi di Piala Dunia B-20 pada 2015 serta sembilan pemainnya kini adalah pemain skuad senior.

Mereka bagaimanapun tumpas 0-2 kepada skuad muda negara pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 13 Julai lalu namun bagi Wai Min dia percaya keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran.

“Pada perlawanan itu, kami tidak boleh bermain dengan baik sebab hujan lebat dan ia pula sekadar aksi persahabatan. Kali ini pasti berbeza,” kata pemain pertahanan kanan Yangon United itu.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 1:50pm
d