arena

Puas dikalung emas

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS kecewa dalam empat temasya Sukan SEA sebelum ini, Yeap Wai Kin akhirnya berjaya merasai nikmat dikalungkan pingat emas apabila meraih mata tertinggi dalam acara wushu bagi disiplin jianshu lelaki di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Wai Kin yang gemar menonton filem aksi lakonan Jet Li (bekas atlet wushu) mengakui amat gembira selepas berjaya mengumpul 9.67 mata, mengetepikan rakan senegara Wong Wen Son (9.65 mata) dan pemenang pingat gangsa Fung Jin Jie dari Singapura (9.48 mata).

“Sebelum beraksi saya tidak fikir mengenai berapa markah akan dikutip, hanya mahu beraksi cemerlang. Bagaimanapun, selepas mendapat tahu mata yang diraih, saya berasa sangat teruja. Mencatat kejayaan satu-dua satu pencapaian luar biasa, ini adalah sejarah,” katanya yang mewakili skuad kebangsaan sejak berusia 16 tahun.

Wai Kin yang berusia 24 tahun dan berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang mengakui dia sudah melakukan persiapan dengan sangat rapi kerana edisi kali ini Malaysia menjadi tuan rumah.

“Ini emas pertama saya selepas empat Sukan SEA. Dua tahun lalu di Singapura dan 2011 di Indonesia saya tidak memenangi sebarang pingat, manakala pada 2009 di Laos saya berjaya meraih satu gangsa,” katanya.

Ditanya mengenai Wen Son, Wai Kin berkata, mereka berdua kawan baik dan sentiasa berlatih bersama-sama tanpa ada sebarang sifat negatif seperti membuat perbandingan atau bergaduh.

“Kami hanya berikan yang terbaik dalam latihan dan mana-mana kejohanan yang disertai,” katanya yang akan mengambil bahagian dalam disiplin qiangshu esok.

Dia yang mula membabitkan diri dalam sukan itu sejak berusia lapan tahun pernah meraih dua perak pada Kejohanan Dunia 2013 dan menggondol dua emas di Kejohanan Remaja Dunia 2011.

“Saya juga bertekad untuk menjadi jurulatih apabila bersara nanti kerana mahu mengembangkan lagi sukan ini di Malaysia. Sukan ini masih kurang popular, jadi saya mahu menarik minat orang ramai menyertainya,” kata Wai Kin.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 1:58pm
d