arena

Seong Fok tekad tamat kemarau

Oleh Aziman Rosdi

PENEMBAK berpengalaman negara Charles Chen Seong Fok mahu menamatkan kemarau pingat emas apabila membuat penampilan Sukan SEA ke-10 dalam acara trap individu di Lapang Sasar Menembak Subang.

Sejak tampil pada Sukan SEA pertama di Jakarta pada 1987, penembak dari Selangor yang kini berusia 51 tahun itu sudah memiliki koleksi pingat perak dan gangsa namun kilauan emas yang diidamkan masih belum tiba.

Bagaimanapun Charles tidak pernah berputus asa dan percaya ini detik terbaik untuk dia menoktahkan penantian itu.

“Ini Sukan SEA ke-10 saya, Sukan SEA sebelum ini di Singapura adalah penampilan terbaik saya dengan meraih dua perak acara trap individu dan berpasukan. Pingat perak dan gangsa sudah banyak, jadi saya mahukan pingat emas kali ini.

“Pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah, saya hanya mendapat dua gangsa tapi kali ini tidak ada acara berpasukan, jadi peluang saya pada acara individu.

“Dengan segala pengalaman dan berlatih di sini setiap hari, saya fikir ini masa terbaik untuk saya,” katanya.

Selain Charles, turut beraksi dalam acara trap individu ialah Bernard Yeoh.

Keyakinan Charles semakin memuncak apabila menjuarai Kejohanan Menembak Kebangsaan, bulan lalu, dengan rekod baru kebangsaan 45 tembakan keseluruhan pada final berbanding 44 yang dilakukan oleh Bernard di Kejohanan Menembak Asia Tenggara, April lalu.

Cabaran Malaysia yang mensasarkan empat daripada 14 pingat emas yang ditawarkan dalam acara menembak bermula dengan double trap menerusi penyertaan penembak termuda berusia 15 tahun, Eng Wei Jin dan Benjamin Khor, esok.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 5:07pm
d