arena

Pakej lengkap An Najwa

Oleh Aida Adilah Mat

RAUT wajah yang manis, susuk tubuh tinggi lampai melengkapkan pakej An Najwa Azizan sebagai pemain bola jaring terbaik negara.

Siapa sangka pembabitannya dalam bola jaring sebagai bidan terjun mengubah status sebagai antara wira negara apabila menjadi nadi utama skuad bola jaring negara sehingga meraih emas, hari ini.

Ia kejayaan amat berharga kerana menamatkan kemarau pingat emas selama 16 tahun.

An Najwa berkata, ketika sekolah rendah, dia hanya terbabit dalam sukan lompat tinggi dan pembabitannya dalam bola jaring bermula tujuh tahun lalu, ketika diajak menyertai latihan bola jaring dan sejak itu jatuh cinta kepada sukan berkenaan.

“Saya mula bermain bola jaring ketika usia 13 tahun, selepas memasuki Sekolah Sukan Kuala Lumpur (SSKL) apabila diajak menyertai latihan bola jaring,” katanya

Mengulas kemenangan ke atas Singapura, Najwa menyifatkan ia balas dendam kekalahan dua tahun lalu.

“Saya puas dapat menang dengan jurang mata agak jauh,” katanya.

Malaysia merampas pingat emas daripada Singapura selepas menewaskan lawan 65-41 di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Sepanjang saingan bola jaring, kelibat An Najwa sentiasa jadi perhatian menerusi aksi tangkas dengan namanya dilaungkan peminat setiap kali menerima bola.

Aksi sempurnanya semalam turut menarik minat golongan lelaki kerana memiliki kelebihan raut wajah yang menarik.

Jika Cristiano Ronaldo jarang dilihat tersenyum dalam gelanggang, anak jati Ampang, Selangor, ini juga sukar ‘menghadiahkan’ senyuman ketika dalam gelanggang.

“Itulah saya, sentiasa serius dalam perlawanan namun, sebenarnya itu cara saya mengatasi debaran,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 7:40pm
d