arena

Skuad negara di tangga teratas

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Aziman Rosdi

SKUAD futsal lelaki negara menduduki tangga teratas carta acara itu selepas terikat 1-1 dengan Vietnam di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.

Biarpun hanya meraih satu mata, kekalahan 4-2 Thailand kepada Indonesia petang semalam, membolehkan Malaysia naik ke tangga teratas dengan mengumpul empat mata.

Malaysia mendapat peluang terbaik untuk berada di depan menerusi Muhammad Azri Rahman pada minit kelima, namun percubaan sedikit melepasi ketika hanya berdepan penjaga gol, Nguyen Van Huy.

Bagaimanapun, dua minit kemudian giliran Vietnam pula mencemaskan benteng Malaysia dengan rembatan padu Pham Duc Hoa yang menggegar tiang gol.

Permainan terus rancak dengan kedua-dua saling berbalas serangan dan Malaysia melepaskan peluang untuk meledak gol pertama apabila Mohammad Shamsul Akmar Zamri pada minit ke-17 sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol Vietnam.

Tiang sekali lagi menjadi penyelamat pintu gol Malaysia pada minit ke-25 ketika penjaga gol, Mohd Firdaus Razali sudah pun tertewas.

Tiga minit selepas itu, Vietnam terus hampa untuk berada di depa apabila percubaan Le Quoc Nam pula singgah di palang gol.

Hasil satu serangan balas, Mohd Ridzwan Bakri menceriakan penyokong Malaysia apabila meledak gol pertama negara dengan menyudahkan hantaran Mohd Khairul Effendy Bahrin pada minit ke-29.

Tiga minit sebelum perlawanan tamat, Vietnam akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Puc Hoa yang mudah menolak masuk bola hantaran Vu Xuan Thuan dan kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 10:19pm
d